

SUDAH lebih setahun penyanyi Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, 20, mengenali dan berkawan rapat dengan pelakon Fizow Omar.
Namun kini baru ada yang perasan hubungan akrab mereka berdua sehingga menganggap pasangan itu sedang berkongsi kasih.
Kedua-duanya mempunyai perangai yang hampir sama – gila-gila. Tambahan pula Shila akui dirinya lebih selesa berkawan lelaki berbanding perempuan.
Alasannya, lelaki lebih memahami jiwanya yang tidak suka ditikam dari belakang dan lebih telus.
Namun sebalik kisah tersebut, anak kepada selebriti terkenal, ND Lala itu hanya membiarkan hubungan itu berlaku tanpa meletakkan apa-apa sasaran.
“Saya dan Fizow selalu keluar bersama ditemani keluarga masing-masing. Kami saling mengenali keluarga antara satu sama lain dan sebab itu boleh menjadi rapat.
“Katakan kalau suatu hari nanti dia melamar saya, insya-Allah, saya akan pertimbangkan,” luah Shila sambil tertawa riang.
Riak wajahnya kelihatan ceria ketika berbicara tentang Fizow. Namun jangan ada yang salah anggap pula kerana Shila sendiri sudah mengaku status hubungan mereka setakat berkawan sahaja.
“Saya seronok berkawan dengan Fizow kerana dia merupakan lelaki yang mementingkan keluarga. Dalam seminggu boleh dikatakan sebanyak lima kali kami berjumpa. Tetapi dia tak pernah persoalkan sebab saya selalu membawa mak bersama,” ujarnya.
Walaupun masih terlalu awal menyelami hati sahabatnya itu, bagaimanapun Shila tidak menafikan lelaki berusia 25 tahun itu mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya.
“Dia seorang yang sangat baik, tidak kacak kerana saya tidak sukakan lelaki yang kacak, lebih tua dari saya dan pandai memasak terutama makanan Thai.
“Yang penting saya mahukan lelaki yang pandai mengambil hati keluarga saya kerana apabila seseorang itu berkahwin dengan pasangannya, dia perlu juga ‘berkahwin’ dengan keluarga pasangannya juga.
“Kalau boleh memang saya nak elak berkahwin dengan artis tetapi saya tak mampu menolak jika sudah jodoh,” katanya yang menggelarkan Fizow sebagai Casper kerana lelaki itu suka tersenyum sehingga menaikkan tulang pipinya.
- MStar
Baguslah kalau camtu.. Dah suka apa tunggu lagi...